"Pesantren" atau di Malaysia lebih sinonim dengan
panggilan sekolah pondok merupakan sebuah institusi pendidikan yang dianggap
lebih tradisional di mana para penuntut atau pelajarnya tinggal bersama dan
menjalani proses pembelajaran di bawah bimbingan Kiai atau Tok Guru dalam
kalangan ustaz dan ustazah yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. A.
Fuadi, seorang penulis dari negara Indonesia, melalui buku Negeri 5 Menara ini
telah mengambil inspirasi dari kehidupan anak-anak remaja di pesantren dengan
suntikan nilai-nilai murni yang tinggi seperti kecintaan terhadap ilmu
pengetahuan, nilai-nilai keagamaan serta diselitkan juga dengan semangat
kekeluargaan dan persahabatan yang cukup memberikan inspirasi kepada
pembaca.
Negeri 5 Menara yang merupakan judul pertama dari siri trilogi
dengan tajuk yang sama, mengisahkan seorang anak remaja bernama Alif Fikri yang
baru sahaja menamatkan pelajarannya di Madrasah Tsanawiyah. Demi mengejar
impiannya, Alif berhasrat untuk menyambung pelajarannya ke sekolah umum atau
Sekolah Menangah Atas (SMA). Namun, hasratnya itu ditentang oleh ibunya
sehingga menimbulkan konflik dan pemberontakan di dalam diri Alif. Ibunya
mahukan Alif untuk menyambung pelajarannya di sekolah agama bagi mendalami
agama Islam. Jiwa Alif memberontak namun kerana tidak mahu mengecewakan
ibunya, Alif akhirnya akur dengan syarat dia akan merantau jauh dari kampung
halamannya. Justeru, dari Maninjau beliau berhijrah ke Jawa Timur untuk
melanjutkan pelajarannya di Pondok Madani (PM). Di sinilah bermulanya
pengembaraan Alif dalam mencari ilmu dan
mengejar cita-cita dan impian barunya.
Aku amat menyukai mesej-mesej yang disampaikan di dalam buku
Negeri 5 Menara ini kerana yang pertama, penulis berjaya mengubah persepsi aku
terhadap pendidikan sekolah agama atau pondok. Jika sebelum ini aku beranggapan
bahawa sistem pendidikan ini adalah lebih kepada penerapan pendidikan agama atau
ilmu ukhrawi semata-mata namun di dalam penceritaan buku ini, penulis bijak
menerangkan bahawa silibus pendidikannya adalah lebih meluas mencangkupi
unsur-unsur yang lebih moden namun tidak lari dari hukum syarak. Contohnya,
tidak disangka di sekolah pondok turut diadakan liga bola sepak, persembahan
teater pentas dan lebih membuatkan aku kagum adalah penulis turut mengangkat
mesej tentang kepentingan menguasai bahasa-bahasa asing dalam pembelajaran di
mana, semua pelajar di Pondok Madani digambarkan di dalam cerita ini tidak
dibenarkan bertutur di dalam bahasa selain Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris
sehinggakan penggunaan Bahasa Indonesia adalah menjadi satu kesalahan dan wajar
dihukum.
“Man Jadda wa Jadda”sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berhasil
Ini merupakan kata-kata yang menjadi kalimah
keramat sepanjang penceritaan buku ini terutama sekali kepada watak
pendukungnya, Alif Fikri dan Sahibul Menara. Pembaca turut dapat menyelami
pergolakan di dalam diri Alif terutama sekali apabila dia mendapat perkhabaran
daripada sahabatnya Randai yang sering menghantar berita kepada Alif tentang
kehidupannya di sekolah umum di mana tempat impian Alif untuk menuntut ilmu.
Perkhabaran daripada Randai ini membuatkan Alif beberapa kali ingin berputus
asa namun dorongan daripada sahabat-sahabat dan ibundanya yang tercinta serta
kepercayaannya terhadap kalimah man jadda
wa jadda menguatkan iltizamnya untuk meneruskan pengajian di Pondok Madani.
Kisah persahabatan Alif dan kawan-kawannya ini penuh dengan kegembiraan dan
semangat menuntut ilmu membuatkan aku teringat kepada kehidupan zaman
persekolahan aku sendiri terutama ketika aku pernah tinggal di asrama dahulu.
Pada keseluruhannya, Negeri 5 Menara ini merupakan satu karya yang
sangat sarat dengan mesej-mesej yang positif serta turut memberikan inspirasi
kepada pembacanya terutamanya anak-anak remaja yang masih lagi tercari-cari
haluan dalam hidup. Nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan dan adab dalam
menuntut ilmu juga turut menjadikan buku ini sebuah buku yang memiliki nilai
agama dan budaya yang cukup kuat.
Bagi diri aku, memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa
Indonesia, terdapat banyak perkataan bahasa ibundanya yang agak sukar untuk
difahami dan diterjemahkan maksudnya sehingga penceritaannya kurang sampai
kepada pemahaman aku. Namun, hal yang minor ini langsung tidak mencacatkan
nilai autentik jalan cerita dan penerapan nilai-nilai murni yang ingin
disampaikan oleh penulis. Jadi , aku memberikan penarafan 4 bintang bagi karya
ini dan menyarankan buku ini kepada semua pembaca di luar sana.






