Ulasan Buku: Negeri 5 Menara oleh A. Fuadi

Tuesday, April 21, 2020


"Pesantren" atau di Malaysia lebih sinonim dengan panggilan sekolah pondok merupakan sebuah institusi pendidikan yang dianggap lebih tradisional di mana para penuntut atau pelajarnya tinggal bersama dan menjalani proses pembelajaran di bawah bimbingan Kiai atau Tok Guru dalam kalangan ustaz dan ustazah yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. A. Fuadi, seorang penulis dari negara Indonesia, melalui buku Negeri 5 Menara ini telah mengambil inspirasi dari kehidupan anak-anak remaja di pesantren dengan suntikan nilai-nilai murni yang tinggi seperti kecintaan terhadap ilmu pengetahuan, nilai-nilai keagamaan serta diselitkan juga dengan semangat kekeluargaan dan persahabatan yang cukup memberikan inspirasi kepada pembaca. 

Negeri 5 Menara yang merupakan judul pertama dari siri trilogi dengan tajuk yang sama, mengisahkan seorang anak remaja bernama Alif Fikri yang baru sahaja menamatkan pelajarannya di Madrasah Tsanawiyah. Demi mengejar impiannya, Alif berhasrat untuk menyambung pelajarannya ke sekolah umum atau Sekolah Menangah Atas (SMA). Namun, hasratnya itu ditentang oleh ibunya sehingga menimbulkan konflik dan pemberontakan di dalam diri Alif. Ibunya mahukan Alif untuk menyambung pelajarannya di sekolah agama bagi mendalami agama Islam. Jiwa Alif memberontak namun kerana tidak mahu mengecewakan ibunya, Alif akhirnya akur dengan syarat dia akan merantau jauh dari kampung halamannya. Justeru, dari Maninjau beliau berhijrah ke Jawa Timur untuk melanjutkan pelajarannya di Pondok Madani (PM). Di sinilah bermulanya pengembaraan Alif dalam mencari ilmu dan  mengejar cita-cita dan impian barunya.

Aku amat menyukai mesej-mesej yang disampaikan di dalam buku Negeri 5 Menara ini kerana yang pertama, penulis berjaya mengubah persepsi aku terhadap pendidikan sekolah agama atau pondok. Jika sebelum ini aku beranggapan bahawa sistem pendidikan ini adalah lebih kepada penerapan pendidikan agama atau ilmu ukhrawi semata-mata namun di dalam penceritaan buku ini, penulis bijak menerangkan bahawa silibus pendidikannya adalah lebih meluas mencangkupi unsur-unsur yang lebih moden namun tidak lari dari hukum syarak. Contohnya, tidak disangka di sekolah pondok turut diadakan liga bola sepak, persembahan teater pentas dan lebih membuatkan aku kagum adalah penulis turut mengangkat mesej tentang kepentingan menguasai bahasa-bahasa asing dalam pembelajaran di mana, semua pelajar di Pondok Madani digambarkan di dalam cerita ini tidak dibenarkan bertutur di dalam bahasa selain Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris sehinggakan penggunaan Bahasa Indonesia adalah menjadi satu kesalahan dan wajar dihukum.
 
Man Jadda wa Jadda” 
sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berhasil

Ini merupakan kata-kata yang menjadi kalimah keramat sepanjang penceritaan buku ini terutama sekali kepada watak pendukungnya, Alif Fikri dan Sahibul Menara. Pembaca turut dapat menyelami pergolakan di dalam diri Alif terutama sekali apabila dia mendapat perkhabaran daripada sahabatnya Randai yang sering menghantar berita kepada Alif tentang kehidupannya di sekolah umum di mana tempat impian Alif untuk menuntut ilmu. Perkhabaran daripada Randai ini membuatkan Alif beberapa kali ingin berputus asa namun dorongan daripada sahabat-sahabat dan ibundanya yang tercinta serta kepercayaannya terhadap kalimah man jadda wa jadda menguatkan iltizamnya untuk meneruskan pengajian di Pondok Madani. Kisah persahabatan Alif dan kawan-kawannya ini penuh dengan kegembiraan dan semangat menuntut ilmu membuatkan aku teringat kepada kehidupan zaman persekolahan aku sendiri terutama ketika aku pernah tinggal di asrama dahulu.

Pada keseluruhannya, Negeri 5 Menara ini merupakan satu karya yang sangat sarat dengan mesej-mesej yang positif serta turut memberikan inspirasi kepada pembacanya terutamanya anak-anak remaja yang masih lagi tercari-cari haluan dalam hidup. Nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan dan adab dalam menuntut ilmu juga turut menjadikan buku ini sebuah buku yang memiliki nilai agama dan budaya yang cukup kuat.


Bagi diri aku, memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa Indonesia, terdapat banyak perkataan bahasa ibundanya yang agak sukar untuk difahami dan diterjemahkan maksudnya sehingga penceritaannya kurang sampai kepada pemahaman aku. Namun, hal yang minor ini langsung tidak mencacatkan nilai autentik jalan cerita dan penerapan nilai-nilai murni yang ingin disampaikan oleh penulis. Jadi , aku memberikan penarafan 4 bintang bagi karya ini dan menyarankan buku ini kepada semua pembaca di luar sana. 

You Might Also Like

0 comments